Jiwa Merdeka

Di atas robohan kota MELAKA,
Kita bangunkan JIWA MERDEKA,
Bersatulah MELAYU seluruh baka,
Membela hak keadilan PUSAKA.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy
(Kota Melaka, 1946)

Wednesday, October 14, 2009

Diari Ekspedisi Pertama Skuad Peninjau Bantuan Kemanusiaan Di Padang, Sumatera

Pada 5 Oktober 2009, Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah melakukan Misi 1 ke Sumatera Barat yang terdiri daripada En. Mohd Asri Abdul (CEO GPM dan Ketua Misi 1), En. Aktifanus Jawahir (Sukarelawan GPM) dan penulis sendiri telah mewakili ABIM dalam misi tersebut. Skuad Misi 1 ini merupakan pasukan peninjau untuk melihat dan menilai kerosakan akibat gempa khususnya di Kabupaten Padang Pariaman dan Kabupaten Agam di Sumatera Barat dan menentukan bentuk bantuan yang amat diperlukan di sana. Misi 1 ini juga disamping meninjau keadaan setempat, turut menyalurkan bantuan kecemasan di kawasan yang terbabit serta membuka pusat operasi GPM untuk misi seterusnya.

Skuad Misi 1 tiba di lapangan terbang antarabangsa Minangkabau, Padang pada 5 Oktober 2009, jam 8:00 pagi waktu Sumatera Barat. Ketibaan kami ke bumi Padang disambut dengan hujan lebat. Setibanya kami di Padang, kami disambut oleh Bapak Ade Salamun, wakil LAZIS Dewan Da’wah Islamiah Indonesia (DDI) dan Fauzan (mahasiswa Universiti Negeri Padang dan aktivis DDI). Kemudian kami dibawa terus untuk meninjau keadaan di Kota Padang dan mendapati keadaan amat teruk sekali dengan bangunan-bangunan musnah dan rosak. Menurut Bapak Ade Salamun, keadaan yang kami saksikan tidak jauh berbeza pada hari pertama gempa bumi melanda Padang. Kelihatan ramai petugas-petugas keselamatan tempatan dan antarabangsa berusaha mencari mangsa yang masih hidup walaupun kebarangkaliannya agak tipis.

Kami telah dibawa ke Pusat Penyelaras Menangani Gempa DDII di Rumah Sakit Islam YARSI (Yayasan Rumah Sakit Indonesia) di Jalan Proklamasi. Kami turut dimaklumkan oleh Bapak Ade Salamun bahawa sebuah Pusat Tiusyen GAMA yang terletak di hadapan Pusat Penyeleras DDI hancur sama sekali dan dianggarkan 60 pelajar masih tertimbus dibawah runtuhan itu. Menurut Bapak Ade Salamun lagi, sebuah pasukan khas tentera cuba mengesan sebarang degupan jantung dengan menggunakan teknologi canggih yang dapat mengesan degupan jantung pada hari pertama lagi. Namun pasukan khas tentera gagal mengesan sebarang degupan jantung yang masih berfungsi dan mengandaikan bahawa semua yang tertimbus, telah meninggal.

Menurut taklimat dari Ibu Aisyah Natsir, Ketua YARSI Sumatera Barat, penyakit seperti selsema, batuk dan cirit birit telah sudah semakin menular akibat terputusnya bekalan air dan juga cuaca yang kurang baik. Bekalan elektrik hanya pulih sekitar 40 peratus sahaja. Perkhidmatan internet masih belum pulih. Restoren-restoren besar masih tutup; hanya gerai-gerai kecil yang beroperasi menurut Bapak Misbach Malim, Koordinator Nasional untuk Pusat Penyelaras LAZIS-DDII, sudah lima hari aktivis LAZIS-DDI makan nasi goreng dan amat sukar untuk mencari makanan.

Selesai mendengar taklimat dan penerangan di Pusat Penyelaras DDI, En. Mohd Asri telah menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM 10,000.00 kepada Bapak Misbach Malim untuk disalurkan kepada mangsa gempa yang memerlukan. Wang tersebut akan ditukarkan kepada matawang Indonesia Rupiah untuk dibeli keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak dan sebagainya.

Melalui pemerhatian disekitar Kota Padang, penulis mendapati hampir setiap bangunan musnah teruk dan ada bangunan terbenam dalam (tingkat satu di bawah tanah, tingkat dua menjadi tingkat satu). Ada juga keadaan apabila tiga buah bangunan dalam satu barisan yang sama, bangunan yang di tengah-tengah terbenam manakala bangunan disebelahnya hanya mengalami kerosakan yang sikit. Namun situasi tersebut amatlah sedikit sekali jika dibandingkan bangunan-bangunan yang musnah teruk malah terbenam di bawah tanah.

Keadaan mangsa gempa sangat menyedihkan. Mereka berasa ketakutan dengan gempa susulan dan mengambil keputusan untuk berada di luar rumah sepanjang waktu sementara bekalan eletrik dan air telah terputus sama sekali. Kami difahamkan bahawa hujan lebat telah turun setiap hari selepas gempa terjadi dan keadaan ini sebenarnya merumitkan lagi situasi mangsa gempa. Ini adalah kerana mereka tidak dapat berteduh di rumah kerana rumah telah musnah dan jika sekalipun rumah dalam keadaan elok, mangsa gempa khuatir jika gempa susulan tiba dan rumah akan musnah sama sekali. Mereka juga tidak mempunyai khemah sementara untuk berlindung daripada hujan lebat. Dan akhirnya mereka terpaksa merasai hujan lebat dan kesejukan yang melanda.

Sewaktu melihat keadaan di Kota Padang di sebelah petang, En. Mohd Asri telah menerima panggilan daripada seorang wakil di Pondok Pesantren Buya Hamka di Maninjau. Beliau telah dimaklumkan bahawa asrama pelajar lelaki dan rumah guru tidak dapat digunakan lagi. Namun asrama pelajar puteri, bagunan utama dan masjid masih utuh. Kerana bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh, seluruh warga pesantren telah pun dipindahkan ke Masjid Bancah. ABIM dari dahulu lagi telah banyak membantu Pondok Pesantren Buya Hamka di Maninjau dan perhubungan ini menjadi amat rapat ketika Tuan Haji Ahmad Azam menjadi Presiden ABIM yang ke-5.

Pada sebelah malam pula, kami mengambil keputusan untuk ke Pariaman, kawasan yang paling teruk terjejas disebabkan gempa. Menurut Bapak Misbach Malim dan Bapak Ade Salamun, keadaan di Kota Padang agak terkawal dengan kehadiran bantuan antarabangsa dan bantuan makanan juga mencukupi. Namun di kawasan Pariaman masih ada kawasan yang tidak mendapat sebarang bantuan kesihatan dan makanan.

Setibanya kami di Pariaman, kami bermalam di rumah Bapak Arsil Ibrahim. Beliau merupakan graduan sarjana dalam bidang bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah bekerja di Blue-T Communication. Menurut Bapak Arsil lagi, beliau sewaktu berada di Malaysia amat aktif bersama ABIM dan akhirnya telah berkahwin dengan rakyat Malaysia. Beliau kini bekerja di Jakarta disebuah firma yang terkenal dan merupakan anak jati Pariaman.

Dalam perbincangan antara GPM, LAZIS-DDI dengan Bapak Arsil telah mengambil keputusan untuk menjadikan rumah Bapak Arsil sebagai Pusat Operasi GPM dan LAZIS-DDI di Pariaman. Keesokan harinya (6 Oktober 2009) pada awal pagi kami telah ke tiga desa, iaitu Desa Rambai, Desa Durian Pulut Pulut dan Desa Padang Kerambia bersama Koordinator DDII di Pariaman iaitu Bapak Muhammad Sidek. Bapak Ade Salamun dari LAZIS-DDII Pusat turut serta.

Di Desa Durian Pulut Pulut terdapat 70 keluarga; 95 peratus rumah di situ rosak binasa tetapi jumlah kematian tidak banyak. Mereka memerlukan bantuan termasuk khemah sementara menunggu rumah di bina semula. Kami telah menyampaikan bantuan wang tunai kepada keluarga yang terlibat. Menurut Bapak Ade Salamun, pasukan doktor LAZIS-DDI akan tiba keesokan harinya untuk memberi bantuan di desa tersebut dan membawa keperluan asas oleh sumbangan GPM. Premis Taman Asuhan Kanak-kanak di desa itu juga turut musnah sama sekali.

Kemudian kami menuju ke Desa Padang Kerambia untuk menyampaikan bantuan wang tunai ke mangsa di desa tersebut. Pihak bantuan LAZIS-DDI juga akan tiba esok dengan bantuan keperluan asas dan khidmat kesihatan. GPM telah berbincang dengan pihak LAZIS-DDI untuk mengambil dua desa tersebut sebagai ”Desa Angkat” dan akan menjalankan projek jangka masa panjang dengan kerjasama DDI.

GPM juga telah mengenal pasti jenis bantuan yang ingin disalurkan seperti mendirikan rumah sementara di dua desa di Kabupaten Padang Pariaman, iaitu Desa Durian Pulut Pulut dan Desa Padang Karambia. Bantuan bernilai RM 3,000 untuk mendirikan sebuah rumah sementara tetapi akan disalurkan secara bertahap. Sebahagian daripada bahan-bahan yang diperlukan untuk mendirikan rumah sementara itu diperolehi daripada rumah yang telah roboh, seperti atap zink, kayu, pintu dan lain-lain. Penduduk desa ini akan membina rumah mereka secara gotong royong. Untuk tujuan ini, GPM memerlukan RM 405,000 (135 unit x RM 3,000).

GPM juga akan berusaha untuk menyalurkan bantuan makanan untuk pelajar-pelajar di Pondok Pesantren Prof Dr. Hamka seramai 120 orang yang kini tinggal di Masjid Bancah untuk tempoh 3 bulan. Untuk merealisasikan agenda ini, GPM memerlukan sebanyak RM 36,000 untuk menyalurkan bantuan (RM 3 x 120 orang x 100 hari).

Setelah selesai menyalurkan bantuan kepada beberapa desa yang memerlukan bantuan, kami menuju kembali ke Pusat Penyelaras Menangani Gempa DDII di Rumah Sakit Islam YARSI (Yayasan Rumah Sakit Indonesia) di Jalan Proklamasi. Masa yang ada kami luangkan bersama dengan wakil-wakil DDI untuk tindakan selanjutnya sebelum pulang ke Malaysia. Tiba di lapangan terbang antarabangsa Minangkabau, Padang pada jam 4:00 petang (waktu Sumatera Barat). Skuad Misi 1 tiba dengan selamat di LCCT pada jam 7:50 malam (waktu Malaysia). Skuad Misi 2 pula akan bertolak pada 12 Oktober 2009 (Isnin) selama tiga hari.

Oleh: Akmal Hisham Abdul Rahim, Exco Pembangunan Sosial ABIM

Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/22-laporan-a-berita-abim/474-diari-ekspedisi-pertama-skuad-peninjau-bantuan-kemanusiaan-di-padang-sumatera-barat.html

Friday, October 02, 2009

Akhirnya Tulis Juga - 1 Oktober (Jamuan Raya, Berhenti RA dan Kakak ke Jepun)

Agak lama tidak mencatatkan sesuatu dalam blog ini. Kerana kebosanan yang amat tinggi. Mungkin disebabkan tidak ada 'mood' untuk menulis sepanjang keberadaan di UM setelah sekian lama. Keadaan di UM telah 'melemahkan' keadaan diri. Sehingga hanya menunggu saat-saat akhir...

Kini rasa bebas dan tenang. Tidak lagi terbelenggu dan terbeban dengan karenah insan tertentu. Cukup setahun di institusi tersebut. Perlu fikir langkah seterusnya.

Semuanya berlaku pada bulan Oktober. Berhenti kerja di bulan Oktober. Kakak melanjutkan pelajaran ke Jepun juga di bulan yang sama - Oktober. Sunyi rumah selepas ini. Begitu sunyi. Hanya tinggal tiga orang sahaja di rumah.

Kini sedang mencongak, "Ke Mana Selepas Ini?".

Sebelum Kakak berlepas, sempat bertanyakan kepada a.Azuan mengenai a.Ed yang kini menjadi Attache Pendidikan Kedutaan Malaysia di Jepun. Telah pun e-mel beliau mengenai status Kakak dan dijangka tiba bila. Bekas aktivis PKPIM/ABIM. Harap beliau dapat membantu Kakak dalam apa jua keadaan dan semoga dipermudahkan segalanya.

Hadir ke rumah terbuka anjuran PKPIM/ABIM/WADAH. Di Masjid Negara. Lama tak berjumpa teman-teman. Sempat berkenalan dengan penyelidik Kedutaan Jepun di Malaysia. Kalau tak silap, penyelidik tersebut telah memeluk agama Islam ketika berada di Malaysia; Alhamdulillah. Beliau meminta Kakak berhubung dengan beliau kerana akan kembali ke Jepun pada Disember 2009 dan ingin perkenalkan kepada isteri beliau.

Alhamdulillah pada saat-saat akhir, ketika semua berpendapat Kakak ke Jepun berseorangan dan tidak ada sesiapa di sana, berjumpa beberapa kenalan dan senior aktivis yang kini sedang berkhidmat untuk negara. A.Raimi, SUA ABIM juga akan ke Jepun minggu hadapan. Beliau berharap juga untuk bertemu dengan Kakak di sana.

Suasana di KLIA amat tenang dan gembira. Adik-beradik sebelah mak banyak yang datang. Sebelah arwah bapak pula hanya Mak Mun, Kak Nana dan anak-anaknya. Tunang Kakak, a.KA kelihatan sedih. Itu normal dan sepatutnya. Tidak normal jika dalam keadaan 'gembira'.

Sewaktu di KLIA, En.Azam telefon. Kata beliau, saya diminta untuk ke Padang Sumatera Indonesia mewakili ABIM dan beliau sendiri secara peribadi akan melihat keadaan di sana. Turut ikut dua wartawan TV3 untuk membuat liputan. Terkejut dan terkaku apabila mendapat 'arahan' daripada En.Azam untuk ke sana mewakili ABIM. Sebab passport dan tamat tempoh dan persediaan 'mental&fizikal' masih tahap bawah. Lagipun esok (Jumaat) sudah bercadang untuk mandi sungai di Ulu Yam. Saya diminta mengambil gambar, membuat laporan tentang apa yang boleh dilakukan di sana. Kalau tak salah dengar, saya akan berada di sana lebih kurang seminggu atau lebih! Hmmmm. Kena fikir betul-betul.

Panggilan telefon Siti dan Dr.Zul tidak ku angkat. Tidak tahu sebab mengapa. Mungkin cuba berjauhan sedikit mereka yang ada kaitan dengan 'UM' barangkali.

Alhamdulillah, syukur dan tenang apabila tidak lagi bekerja sebagai pembantu penyelidik di UM. Cabaran dan dugaan selama setahun ini dijadikan pengalaman dan pengajaran.

Baru ku tahu keadaan dunia universiti bagaimana......mata telah terbuka!

Monday, August 31, 2009

:)

:) atau (: Mana-mana tidak menjadi masalah.

Selamat bulan Ramadan kepada kawan-kawan yang mengunjungi blog ini. Tidak terlupa juga kepada mereka yang tiba-tiba 'termasuk' ke dalam blog ini sambil 'google' atau 'yahoo search'.

Amat lemah sekali untuk menaip. Apatah lagi untuk menulis entri dalam blog ini. Setiap kali dan pada waktu pagi ingin sahaja menulis dan memberi pendapat. Tetapi tewas kepada 'kepenatan'. Itu adalah alasan barangkali pada diri ini. Sekadar untuk melepaskan diri daripada sebarang tuduhan liar dan tanggapan yang salah. Lebih baik memberi alasan daripada tidak. Sebab keadaan akan lebih teruk apabila sesuatu tindakan itu tidak ada sebab musabab. Akan menimbulkan pertanyaann dan persoalan kepada orang ramai. Dan juga spekulasi akan mula timbul.

Hidup ini tidak lama lagi akan tiba di satu persimpangan. Ingatkan sudah tidak ada lagi persimpangan dan boleh fokus kepada keadaan sekarang. Namun keadaan kini menunjukkan situasi akan berubah. Harus dan akan tiba masanya untuk membuat pilihan - sekali lagi.

Bulan 2, 2010 akan mencecah 26. Satu angka yang besar! Perlu buat keputusan yang bijak dan waras. Bersikap realistik dan pragmatik seseorang itu harus. Jika tidak sesuai dengan satu persekitaran, sama ada kita cairkan diri dengan adunan tersebut atau sebaliknya. Dan itulah persimpangan yang harus dilalui.

Thursday, August 13, 2009

Perpustakaan dan "Kertas Kerja" Tidak Ada Nama Akmal Hisham!

Jika ditanya kepada saya, tempat yang paling saya suka dan rasa tenteram apabila berada; dengan jujur dan pantas - PERPUSTAKAAN.

Sudah lama tidak menjejakkan kaki di Perpustakaan UM walaupun bangunan FSSS bersebelahan sahaja. Jelas sekali rasa riang dan gembira dirasakan.

Kenapa perpustakaan? Mudah sahaja jawapan saya. Pertama, sebab banyak buku. Kedua, sebab ruang yang luas. Ketiga, tempat ideal untuk baca/tulis. Keempat, sejuk. Kelima, sebab banyak buku.

Sebentar tadi juga perbaharui keahlian...setelah sekian lama. Tergerak juga hati untuk 'masuk' ke perpustakaan.

Tabiat membaca semakin kurang. Saya bukan jenis yang boleh baca kemudian buat kerja lain dan kemudian baca. Saya memerlukan masa yang sesuai, keadaan yang tenang dan penumpuan untuk membaca. Kalau bahan bacaan yang ringan itu tidak menjadi masalah. Tetapi bahan-bahan yang 'berat' ini yang sekian lama saya tidak baca.

Hari ini juga saya dapat tahu satu perkara. Nama saya tidak ada dalam 'kertas kerja'. Segala pembentangan dan tulisan tidak dinyatakan. Walhal peranan orang lain yang sama 'taraf' dengan saya dimasukkan! Mesyuarat mengenai projek 'tersebut' pun tidak pernah panggil saya untuk hadir. Dahulu jika mengikut perancangan seseorang itu, saya diminta untuk khusus mengenai seperti dalam 'kertas kerja'. Hakikatnya kini, kelihatan segalanya hanya omong-omong kosong.

Banyak juga rakan-rakan seperjuangan di universiti akan berhenti. Tergerak juga untuk berbuat sedemikian.

Justeru, buangkan prasangka negatif yang memang hakikat. Mari nikmati buku-buku di gedung ilmu.

Friday, August 07, 2009

Pembentangan Kertas Kerja Peringkat Antarabangsa ?

Pada hari ini saya telah membentangkan satu kertas kerja di peringkat antarabangsa. Bunyi seakan-akan 'gah' tetapi realitinya seakan-akan seminar 'biasa' sahaja. Fakulti Sas & Sains Sosial, Universiti Malaya mengadakan "PERSIDANGAN HUBUNGAN MALAYSIA - INDONESIA KE-3" pada 6hb - 8hb Ogos 2009 di kampus UM Kuala Lumpur.

Kertas kerja yang dibentangkan adalah kertas kerja bersama dengan seorang pensyarah di UM. Tajuk pembentangan adalah "Peranan Media Dalam Penyebaran Maklumat Tentang Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dan Pendekatan Islam Hadhari".

Berikut adalah abstrak pembentangan:

Kertas kerja ini membincangkan peranan pelbagai media secara perbandingan tentang sumber maklumat yang diperoleh oleh masyarakat Melayu tentang Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari. Maklumat tentang perbandingan ini diperoleh daripada kaji selidik yang dilakukan di Semenanjung Malaysia, merangkumi Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, dan Zon Selatan. Maklum balas daripada seramai 3443 responden yang melibatkan pelbagai agensi dan kumpulan sasaran telah dijadikan sumber maklumat untuk mengetahui secara perbandingan tahap pengetahuan masyarakat Melayu tentang Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari. Penyelidikan ini dijalankan dengan menggunakan kaedah soal selidik berstruktur secara berdepan melibatkan responden yang dipilih secara rawak. Dalam konteks ini, responden yang dipilih merangkumi kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari. Penganalisaan data bagi kaji selidik ini menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Kaedah penganalisaan data memaparkan huraian statistik berdasarkan jumlah dan peratus responden yang bersetuju atau tidak bersetuju. Dapatan daripada kaji selidik yang dibincangkan oleh kertas kerja ini menunjukkan bahawa sumber maklumat dari media cetak seperti surat khabar dan majalah merupakan sumber utama masyarakat Melayu mengetahui Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam. Manakala sumber utama mereka mendapatkan maklumat tentang Pendekatan Islam Hadhari pula lebih tertumpu kepada sumber media elektronik seperti televisyen dan radio.

Pembentangan saya merupakan yang terakhir bagi persidangan tersebut. Pada hari Jumaat, Sesi 24, jam 3:00 petang di Bilik Mesyuarat Dekan II. Dalam sesi tersebut, sepatutnya ada empat pembentangan kertas kerja namun yang hadir hanya tiga. Yang menariknya adalah, yang hadir untuk mendengar pembentangan kami; dua orang sahaja! Pembentang kertas kerja lagi ramai daripada peserta.

Hal ini mungkin disebabkan ada pembentangan yang lebih menarik dalam masa yang sama. Saya pada mulanya mahu mengikuti pembentangan oleh Prof. Nik Annuar tetapi waktu pembentangan saya sama dengan beliau. Barangkali semua peserta mahu mendengar pembentangan beliau daripada saya yang 'mentah' ini.

Selesai sahaja upacara penutup, kami menuju ke dataran sastera. Saya semeja dengan Prof Nik Annuar dan sempat mengikuti perbincangan 'minum kopi'. Banyak berkisar mengenai sejarah politik Indonesia, Sukarno, Soeharto dan banyak lagi tokoh-tokoh Indonesia.

Apa yang menarik adalah maklumat beliau mengenai politik Malaysia khususnya mengenai Mahahthir dan Anwar. Menurut beliau, pada waktu Mahathir mendesak Tunku meletakkan jawatan, Mahathir dan Anwar sudah bersepakat; Mahathir di luar dan Anwar di dalam kampus (UM). Dalam satu mesyuarat untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir, Tunku tidak mempengerusikan mesyuarat tersebut tetapi Tun Razak. Cawangan Khas ketika itu mencadangkan agar Mahathir ditahan di bawah ISA. Tetapi ditentang oleh Peguam Negara ketika itu (kalau saya tidak silap) kerana Mahathir tidak menentang kerajaan tetapi Tunku sendiri. Tun Razak dan Mahathir sememangnya mempunyai hubungan yang baik justeru keputusan untuk mengenakan ISA kepada Mahathir telah ditolak oleh Tun Razak. Sekiranya Tunku yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, tentu Mahathir akan dikenakan tahanan ISA.

Menurut Prof Nik lagi, dalam era reformasi, Mahathir tahu apa yang perlu dilakukan. Iaitu tangkap Anwar dibawah ISA. Ke semua mesyuarat dipengerusikan oleh Mahathir sendiri. Kerana jika mesyuarat dipengerusikan oleh orang lain, sudah tentu Anwar akan 'bebas'.

Seronok apabila dapat duduk dan berbincang dengan ahli akademik. Terutama mereka yang tidak kekang dengan ilmu dan mahu memberi bantuan/pertolongan.

Bagi saya, jika kelihatan ahli akademik yang 'mewah', saya akan mula curigai dan timbul satu persepsi yang kurang enak. Begitulah ceritanya.

Thursday, August 06, 2009

Kenyataan Media 3 Ogos 2009 / 11 Syaaban 1430 H - ABIM Gesa Kerajaan Percepatkan Proses Penggubalan Undang-Undang Baru Menggantikan ISA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan tindakan bagi proses penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku baru-baru ini dapat dielakkan dari berterusan.

Antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pihak kerajaan tidak harus memandang ringan protes-protes yang dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat ini sebagaimana yang terjadi kelmarin kerana ia merupakan manifestasi bantahan terhadap perlaksanaan ISA yang dilihat telah banyak melanggar batas-batas hak asasi warganegara dari kerangka perlembagaan.

ABIM juga ingin meminta masyarakat supaya memberi peluang dan masa kepada pihak kerajaan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang telah membuat kenyataan rasmi untuk membuat kajian semula terhadap akta ini, menyempurnakan janjinya. Ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat terbanyak hendaklah dipelihara oleh semua pihak.

ABIM ingin terus mempertegaskan sikapnya pada sebelum ini iaitu ISA hendaklah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan prinsip hak kemanusian. Oleh itu, ISA hendaklah diganti dengan satu undang-undang baru yang lebih adil sejajar dengan tuntutan agama dan perlembagaan Malaysia.

‘Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan’

MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/1-siaran-media/397-kenyataan-media-3-ogos-2009-11-syaaban-1430-h-abim-gesa-kerajaan-percepatkan-proses-penggubalan-undang-undang-baru-menggantikan-isa.html

Wednesday, August 05, 2009

Fasa Baru - Bermula Baru

Hidup ini sedang memasuki satu fasa yang baru. Sekarang, begitu banyak perkara yang perlu diambil kira. Apabila telah diputuskan oleh Syura, maka harus dilaksanakan dan terima dengan penuh tanggungjawab.

1 Ogos 2009, Ahad, di Shah Alam, adalah titik kepada segalanya. Titik permulaan atau titik akhir - satu persoalan. Gerak geri, percakapan, penulisan, pandangan dan segala-galanya akan diperhati. Malah blog ini juga (memang kemungkinan besar). Tetapi saya mengambil keputusan biarlah gaya blog ini diteruskan seperti biasa. Jangan tukar terburu-buru. Setiap perubahan akan mengambil masa. Panjang atau pendek, itu terpulang kepada ketentuan Yang Esa.

Rasa bebanan akan tanggungjawab dan keperluan diri sudah mula bertembung. Namun semua perkara memerlukan masa dan sokongan mereka di sekeliling. Apabila melihat e-mel yang terbaru, saya membaca surat abang Hasri Harun yang dikirim melalui MISG ABIM UK-EIRE seperti berikut:

MEMPERKUKUH WADAH
GERAKAN : CABARAN KEPIMPINAN BARU ABIM 2009-2011

Kepimpinan MISG ABIM UK Eiremengucap tahniah dan syabas kepada
semua pimpinan baru Angkatan Belia Islam Malaysia 2009-2011 yang telah
diputuskan dalam Muktamar Sanawi ke-38 baru-baru ini. Semoga dengan perlantikan
ini akan dapat diteruskan segala usaha-usaha dakwah yang telah dimulakan oleh
mantan-mantan pimpinan lalu disamping memberi nilai tambah ( added-value) kepada usaha-usaha
tersebut.

Sesungguhnya perubahan kepimpinan adalah sunnah
dalam perjuangan. Namun perubahan yang berlaku tidaklah seharusnya membantutkan
segala usaha dan perjuangan kerana penerusan kearah kebaikan harus diperkasa
walau sesiapa pun yang memegang tampuk kepimpinan. Oleh yang demikian
masing-masng mempunyai hak dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas .
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di
akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya
dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.” Riwayat Muslim

Kepimpinan mempunyai hak untuk mendapatkan
wala’ daripada ahli keseluruhan bagi menjamin segala usaha dan perancangna
mendapat sambutan yang kuat daripada ahli manakala tanggunjawah kepimpinan
untuk memajukan usaha dakwah, memimpin ahli kearah kebaikan harus sentiasa
dimantapkan. Begitu juga ahli disemua peringkat haruslah ikhlas dalam memberi
ketaatan kepada kepimpinan. Jangan wujud suasana yang tidak selesa dalam
gerakan. Wujudkan suasana mahabbah dan toleransi yang murni sesama kita kerana
jalan perjuangan ABIM masih jauh dan kita masih mengayuh perjalanan dakwah
untuk sampai ke destinasi yang masih belum kita nampak. Justeru kepimpinan dan
kepemimpinan harus diperkasa. Dalam suasana perubahan dalam konteks ABIM saya
percaya kita makin matang untuk mendepani cabaran. Kita harus matang dalam
menangani perubahan. Insya Allah usaha kita untuk tampil sebagai wadah
perjuangan umat dan belia dimalaysia akan sentiasa di rasai oleh umat tidak
kira dimana kita berada.

Marilah sama-sama kita dikalangan ahli dan pimpinan renungi ingatan Allah
SWT akan cabaran kepimpinan dan bagaimana kita harus menyuntik semangat
perjuangan kita dalam gerakan tercinta ini :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan
(balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan Yang terbunuh.
(balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan
oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah
lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah
Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa)
jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.” (At-Taubah, 9:111)

Kepada kepimpinan baru , sama-sama kita
berusaha memperkukuh wadah gerakan ABIM dengan baik. Saya percaya insan-insan
yang diposisikan dalam kepimpinan hari ini adalah mereka yang punyai kualiti
yang hebat dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Serlahkan kepimpinan anda dengan baik dan
kukuhkan gerakan kita untuk masa depan umat yang kita cintai. Saya doakan
semoga usaha meneruskan risalah nubuwwah ini akan diberkati oleh Allah SWT.

Wajah Baru, Suara Baru, Belia Baru

Hasri Harun
Presiden


Akhir sekali, jika anda tertanya-tanya...(sila klik di sini)

Friday, July 31, 2009

Sejarah Pada 30 Julai 2009

Pertama sekali di mana harus aku bermula?

Khamis, 30 Julai 2009, hari bersejarah antara sejarah hidup aku. Akhirnya aku berdepan dan berkata apa yang terbuku dalam hati aku terhadap penyelia. Memang berat dan sukar. Aku memberanikan diri untuk sms kepada beliau. Mendapat maklum balas daripada seorang 'pekerja' bahawa penyelia lapang sekitar jam empat petang.

Pada awal pagi menghadiri pelancaran buku Prof. Emeritus William R. Roff. Seorang sarjana terkenal dalam dunia akademik dengan bukunya bertajuk The Origins of Malay Nationalism. Umur beliau sudah mencecah lapan puluh tahun lebih dan masih sihat lagi. Tetapi jika dibandingkan dengan Mahathir, Mahathir lagi cergas dan kuat. Roff sudah kelihatan tua, pendengaran sedikit terjejas dan juga penglihatan. Pelancaran buku terbaru William Roff bermula sekitar 10:20 pagi. Saya duduk bersebelahan dengan Prof. Noraini dan beberapa ahli Sisters In Islam (SIS). Sewaktu awal program, Noraini ada berkata dengan nada 'bergurau', "Girls, let sit in the middle. Don't let the men conquer all! Kalau cakap begini di UIA lagi bagus". Pandangan femenisme yang 'terbawa-bawa' secara berlebihan pada hematku.

Turut hadir dalam pelancaran buku tersebut adalah Haji Sulaiman Abdullah, peguam terkenal di Malaysia, Zainah Anwar, pengasas SIS dan Prof. Clive Kessler.

Pada sebelah tengah hari pula Cik Din memberitahu bahawa seorang aktivis ABIM dahulu telah meninggal dunia. Jenezah beliau akan disembahyangkan di Masjid Bulat, Seksyen 14. Sebelum itu Saifullah sms untuk makan tengah hari bersama di UM tetapi aku terpaksa batalkan pertemuan di UM dan jumpa Saifullah di Masjid Bulat. Berbincang tentang perancangan di sekitar Petaling Jaya....

Kembali pada awal cerita tadi.

Sebelum berjumpa dengan penyelia, saya kerap memasuki bilik Dr.Z untuk bertemu dengan beliau. Namun malangnya beliau agak sibuk pada waktu amat diperlukan. Akhirnya mengambil keputusan untuk berjumpa terus dengan penyelia di pejabat dirgahayu beliau.

Pendekkan cerita, pertemuan dengan penyelia amat mendukacitakan. Tidak seperti yang aku jangka dan harap berlaku. Belaku sebaliknya. Dalam situasi ini, akan aku ingat sampai bila-bila.

Siapa sangka apabila hampir setahun bekerja, bagaikan tidak dihargai.

Selesai berjumpa, penyelia tanpa segan silu, menyuruh aku mengangkat file yang berat besar ke kereta rasminya. Malah meminta aku mengalihkan keretanya ke tempat yang dihajatinya. Sewaktu berjalan menuruni tangga, perasaan malu dan segan hadir. Melihatkan staf dan pelajar melihat aku membawa barang-barang tersebut.....rasa terhina ada juga. Tetapi nak buat bagaimana lagi....

Selesai saja mengikut arahan penyelia, aku teringat janji untuk berjumpa dengan Ust.Li. Aku beritahu segalanya mengenai pertemuan dengan penyelia sebentar tadi kepadanya. Pandangannya bernas dan baik sekali. Malah Ust.Li menawarkan dirinya untuk membimbing dalam menyiapkan kerja aku.

Ada dua insan yang cukup mulia di tempat aku bekerja, Dr.Z dan Ust.Li. Jelas kelihatan keikhlasan mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dunia ilmu, sepatutnya semakin berisi semakin rendah. Perumpamaan seperti padi. Semakin berisi semakin menuju ke bumi. Membawa erti 'rendah diri'. Namun pada kaca mata pandangan aku, kebanyakkan manusia yang mempunyai pangkat dalam bidang ilmu hanya berguna untuk diri sendiri. Walaupun ada manfaatnya, tetapi hanya berguna jika seseorang itu mempunyai sesuatu perkara yang dia tidak ada.

Sebelah malam Saifullah ajak melihat kawasan di Kota Damansara dan Lembah Subang.

Seorang ustazah guru agama di Lembah Subang kelihatan amat komited dalam membimbing generasi muda. Walaupun dalam serba kekurangan, ustazah tersebut cukup yakin dan komited untuk membimbing generasi muda mengenai ilmu agama.

Tiba di rumah dan menonton TV. Wayang Sepi. Dulu aku nak tengok wayang tersebut tetapi tidak ada masa. Indah.

Dan kini akhirnya....

Segala inti pati blog ini hanyalah rekaan semata-mata.

Wednesday, July 29, 2009

29 Julai 2009 - Rabu -Kena Buat Keputusan....

Sejak beberapa hari kebelakangan ini situasi agak tidak menentu malah begitu rumit sekali. Tindakan untuk tidak membenarkan sesiapa memasuki ruang blog ini juga dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Sebenarnya ada perhitungan dan pertimbangan yang telah diambil namun adakah tepat? Atau tidak?

Rabu, 29 Julai 2009. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bulan Julai dan Ogos merupakan bulan yang penuh dengan cabaran. Agak sukar untuk menyatakan cabaran itu dalam blog ini sebab diketahui bahawa ada banyak mata-mata yang sedang melihat. Tetapi keghairahan saya untuk menulis dan menceritakan serba sedikit dan memberi sedikit bayang-bayang.

Aktiviti Hari Ini

Penyelia cuti hari ini. Jadi ada waktu lapang untuk mengisi hal-hal peribadi. Pada awal pagi bayar bil di pejabat pos dan menghantar bungkusan (buku PRK Permatang Pauh) kepada seorang pelajar sarjana di USM. Sesudah itu menuju ke UIA untuk menemankan a.Azlan menemubual Cikgu Sidek (Prof Sidek Baba). Banyak perkara yang dapat diketahui dan terutama sekali perkara yang "off record". Apa pun saya melihat Cikgu Sidek sebagai pendidik, tokoh dan juga sebagai pakar strategis (perancangan politik). Tetapi atas sebab-sebab tertentu pada pandangan saya, beliau memilih jalan akademik. Namun tidak dapat dinafikan bahawa potensi Cikgu Sidek amat besar untuk diketengahkan. Tiba di pejabat beliau sekitar jam 10:15 dan tamat sekitar 12 tengah hari.

Kemudian hantar a.Azlan di stesen Putra Taman Paramount dan saya pulang ke rumah. Pada sebelah petang pula bersama Saifullah untuk menghadiri mesyuarat di Merdeka Centre.

Fikiran Hari Ini

Setiap manusia di dunia berbeza. Tetapi ada perkara yang sama. Seperti contoh lelaki dan perempuan. Tetapi apabila kita mendalami lelaki apa dan perempuan apa; maka akan wujud perbezaan dalam kesamaan. Misal contoh seperti perempuan itu...perempuan yang mana? Yang pakai cermin mata? Cermin mata bentuk apa? Dan persoalan ini akan berlanjutan.

Sama juga apabila membicarakan kumpulan 'minoriti' dan 'majoriti'. Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia ini. Tetapi dalam hal ekonomi, kaum Melayu adalah minoriti (ini berdasarkan jumlah jutawan yang ada di Malaysia dan jumlah kekayaan yang dimiliki). Ini menunjukkan bahawa sesuatu kelas, kaum atau sebagainya apabila kita fikir dengan lebih mendalam akan membawa banyak sisi pandangan.

Pada saya, dalam dunia ini ada dua penjuru seperti "Kiri" dan "Kanan". Ada ketika penjuru ini bertentangan dan "Kiri" boleh menjadi "Kanan" dan "Kiri". Begitu juga dengan "Kanan", boleh menjadi "Kiri" atau "Kanan" dalam kaca mata yang melihat penjuru tersebut. Dan apabila membincangkan antara "Kiri" dan "Kanan" ini, manusia selalunya obses dengan dua perkara ini sahaja tanpa mengambil kira faktor "Tengah". Perlu ingat di sini bahawa perlu ada keseimbangan antara "Kiri" dan "Kanan", maka keseimbangan itu adalah "Tengah". Membawa maksud bahawa faktor ketiga ini amat penting apabila menganalisis sesuatu perkara mahupun insiden.

Jujur saya agak sukar untuk menulis. Bergantung kepada mood dan keperluan saya apabila hendak menulis. Banyak kali mendapat nasihat daripada senior-senior agar supaya banyak menulis dan banyak membaca. Tetapi saya melebihkan hal kedua iaitu membaca. Akan tiba masanya apabila harus mengeluarkan segala ilmu, maklumat dan kefahaman dalam bentuk penulisan. Nasihat yang sama juga saya dapat daripada seorang pensyarah di UM tiga hari yang lepas. Menulis memerlukan kemahiran ujar beliau. Tetapi ada juga yang berbakat dalam aspek penulisan. Seperti Firdaus Hamsin, Yusni Husaini, Ali Bukhori dan beberapa nama yang tidak dapat disebutkan dalam blog ini.

Cuma saya masih bertanya-tanya.....apakah blog ini akan menjadi perhatian umum kelak?

Monday, July 13, 2009

Di Persimpangan

Akan tiba masanya apabila diri kita dalam persimpangan. Perlu membuat keputusan sama ada ingin meneruskan jalan ini; atau memilih jalan lain.

Sedang kita duduk bersendirian sambil berfikir..."Aku sekarang ini yakin ke untuk terus ni? Atau tidak?".

Sambil melihat orang sekeliling kita ada yang sudah berjaya, pendapatan tetap, apatah lagi jika jalan yang dilalui itu baik-baik saja.

Ingin menolong orang? Apa pun perlu bantu diri sendiri dahulu.

Blog merupakan ruang khas untuk menulis, bertukar pendapat apatah lagi untuk meluahkan perasaan. Untuk diri sendiri dan orang ramai. Dunia ini tidak boleh disimpan hanya diri sendiri. Ada masa dan ketika harus berkongsi. Sekiranya dunia ini untuk diri sendiri; masakan pula Hawa diciptakan untuk Adam. Namun saya mengambil jalan tengah. Iaitu ada ketika perlu 'peribadi' dan ada masa perlu 'berkongsi'.

Tetapi keputusan yang akan diambil oleh diri sendiri akan ada kesan mendalam. Sudah pasti masa depan juga akan berubah.

Pendekatan saya terhadap blog ini adalah terlalu 'peribadi' dan personal. Walhal kewujudan blog ini sebenarnya adalah untuk bertukar pendapat dalam bentuk wacana akademik.

Walau apa pun saya di persimpangan jalan. Cukup buntu dan mencari arah tuju.

Semua ingin hidup yang lebih baik. Apatah lagi jika umur semakin dewasa. Tahun depan 26.

Dan sejujurnya saya rasa masih muda dan mentah.

Terutama apabila bertanyakan tentang kawan-kawan lama dahulu. Ada yang begini, begitu, itu, dan sebagainya. Apabila mereka tanya saya....saya terkaku seketika.

Bukan mahukan kemewahan. Bukan mahukan gaji 5 ribu, kereta mewah dan kekasih yang cantik....

Saya cuma mahukan hidup yang sederhana...susah sangatkan permintaan itu?